Ahad, Julai 17, 2011

KEMATIAN NYAWA

Jumaat lalu, anak muridku meninggal dunia. Arwah masih muda belia, baru sahaja 13 tahun. Perwakannya baik, disenangi rakan. Guru apatah lagi. Berselisih sahaja bibirnya tak pernah sunyi dari senyuman. Wajahnya redup dan menenangkan sesiapa sahaja.

Arwah adalah anak muridku ketika di tahun 6, 2010. Sejak arwah bersekolah di SMK Temin tahun ini, aku jarang berjumpa. Sekali-sekala ada berjumpa, itu pun jika aku terserempak dengan arwah ketika menghantar adikku ke asrama sekolah. Kataku, "belajar rajin-rajin", seperti biasa, dia angguk dan tersenyum.

Pernah juga, arwah datang ke SK Bukit Dinding, ketika acara sukan dilangsungkan. Sempat juga aku berbual sepatah dua dengan dia dan kawan-kawan. Mengetahui sedikit sebanyak perkembangan mereka juga menyeronokkan. Pada arwah, aku pernah beberapa kali menyuruhnya menitipkan salam buat senior-seniornya di asrama. Seniornya juga adalah rakanku. Ya, dunia di Jerantut ini kecil, kadang-kadang kita mengenali orang yang sama dengan pangkat hubungan yang berbeza-beza.

Dan, berita yang aku terima Jumaat lalu sangat menyakitkan. Tak sangka, umurnya baru 13 tahun. Tubuhnya tidak dapat menahan setelah koma 5 hari, gara-gara kemalangan di Kg Jeransang. Aku terkejut. Wajahnya yang mengukir senyum bersilih ganti muncul di layar kenangan. kenangan-kenangan arwah bersamaku segera muncul. Kenangan aku menumpangkannya ke rumah juga ada. Kenangan aku berbual dengannya juga ada. Dan kenangan yang takkan aku lupakan ialah senyumannya yang ikhlas, terzahir dari rasa hormat dari dalam hatinya. Aku yakin, jika umurnya panjang, dia akan menjadi seorang yang dihormati.

Namun, suratan adalah suratan, tiada siapa dapat mengubahnya.

Oh Allah, jika sampai doaku ini kepadaMU, tempatkanlah arwah di kalangan orang-orang yang beruntung. Perkenankanlah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Feel free to leave a comment! =)