Ahad, September 20, 2009

IZZATUL ISLAM


"AL-ISLAMU A'LA, WA LA U'LA ALAIH".

Islam itu tinggi, dan tiada yang tinggi selainnya. Ungkapan ini sebenarnya ironik sempena kita menyambut lebaran 1430H ini. Berpegang dan mendalami maksudnya sahaja sudah berupaya melonjak kekuatan dalaman kita untuk mencapai yang terbaik.

Sebagai umat Islam, perasaan bangga dan ingin menjadi yang terbaik itu mesti ada. Contoh mudah, seorang atlit berusaha mencapai kedudukan terbaik dan seboleh-bolehnya menjadi pemain nombor 1 dunia. Untuk itu, umat Islam memerlukan IZZAH. Perkataan Arab 'Izzah' yang membawa erti 'BANGGA' dalam bahasa Melayu merupakan manifestasi kepada anjakan paradigma yang positif, yang memacu kekuatan dan ketumbukan umat Islam.

Jika dahulu Izzah ini membantu umat Islam dalam peperangan menentang musyrikin apabila 313 orang menentang 1000 orang, 1000 orang menentang 3000 orang, dan 10000 orang menentang 30000 orang. Adakah kita pernah terfikir dari mana datangnya kekuatan ini? Apakah yang mendorong umat Islam dahulu mempunyai moral dalaman yang tinggi seumpama itu? Sungguh menghairankan!

Tarbiyah! Adalah langkah yang diambil oleh Rasulullah bagi membentuk ketumbukan Islam yang padu. Tarbiyah jugalah yang membentuk jatidiri Muslim yang menyandarkan segala-galanya pada ketentuan Allah semata-mata. Penyerahan diri secara total ini menjadikan umat Islam ampuh dan tidak terkalahkan.

Refleks semula pada diri kita umat Islam masa kini. Saya teringat kata-kata ustaz semasa di sekolah dahulu. Katanya, "apabila tiba Syawal umat Islam sudah terbalik! Lafaz takbir yang sepatutnya dilaung dengan penuh perasaan kemenangan dan kemegahan sudah hilang auranya! Takbir kini dilafaz dengan sayu dan lemah! Tiada semangat dalam laungan takbir kebanyakan umat Islam kini!" Apabila diingat kembali kata-katanya, memang ada benarnya.

Oleh itu, marilah kita membina semula perasaan kemegahan dan kebanggan itu. Launglah takbir dengan sepenuh kekuatan hati. Zahirkan kekuatan Islam dengan moral dan disiplin yang tinggi. Berwaspadalah kepada kejahatan. "Kejahatan yang terancang itu boleh menjatuhkan kebaikan yang tidak terancang!"

Sesungguhnya Islam itu tinggi, semestinya juga umatnya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Feel free to leave a comment! =)