Sabtu, Ogos 29, 2009

AIDILFITRI 5 TAHUN DAHULU

Aku sedang menghabiskan cuti-cutiku di rumah apabila secara tiba-tiba aku teringatkan sahabatku - Wan. Atau, lebih tepat lagi Allahyarham Wan. Aku sedang menghabiskan masa dengan duduk-duduk di dalam bilik aku ketika aku teringatkannya. Sebenarnya, aku dengan arwah bukanlah sahabat baik. Cuma peristiwa terakhir yang dilalui oleh aku bersamanya yang membuatkan aku mengingatinya. Hingga kini.

Hari-hari terakhir arwah bersamaku 5 tahun dahulu adalah sebegini...

TAHUN 2004, ketika itu Ramadan. Suasana girang menyambutnya tidak pernah surut. Kegembiraan Ramadan sentiasa hidup, banyak yang hadir ke surau untuk berbuka, bertadarus, & bertarawih. Aku tidak terkecuali. Cuma, semakin Ramadan menghampiri penghujungnya, aku dapati arwah semakin rajin hadir ke keramaian di surau. Arwah semakin rajin berbuka di surau, arwah semakin rajin bertarawih, dan aku perasan yang wajahnya semakin berser-seri! Tapi, aku sangkakan itu hanya tanda biasa saja.

Jadi, hari berlalu...

Ramadan tiba ke minggu akhir. Tibanya hari untuk aku pulang ke kampung. Masih aku ingat, ketika itu aku menaiki bas Utama Ekspres, perjalanan dari Kangar ke Kuantan. Arwah yang tinggal di Kemaman kebetulan menaiki bas yang sama.

Sebelum bertolak ke terminal, petang terakhir kami di Maktab Perguruan Perlis dihingari dengan lagu-lagu raya. Penyanyinya ramai dan gitaris cuma seorang - arwah. Arwah memang seorang yang cekap memetik gitar. Paling cekap antara kami. Lagu demi lagu didendang, lagu terakhir yang paling kuat dinyanyikannya adalah lagu Balik Kampung, Sudirman. Ketika itu kuat betul mereka menyanyi - Tok Chong (Hazri), Glenn (???), Arip (Arif), Din (Hafizuddin) dan lain-lain menjadi penyanyi latar tak profesional sambil diiringi petikan gitar oleh arwah. Seronok betul mereka hingga terdetik dalam hati aku, "Ish, diorang nih dah macam tak nak balik maktab jer!" tapi, aku diamkan saja.

Jam 1830, bas mula menggolekkan tayar menuju ke Kuantan. Aku duduk di kerusi yang jauh dari arwah. Tetapi dengan tiba-tiba, gadis yang duduk di sebelah arwah mempelawa untuk menukar tempatnya dengan aku kerana di sebelahku juga seorang gadis, melepas~! Hehe..

Perjalanan diisi dengan bualan kosong saja. Aku memang tidak pernah berbual lama dengan arwah sebelum ini, tetapi ketika itu bualan kami semakin rancak. Banyak yang dikongsi bersama, terutama pengalaman kami di maktab yang baru sahaja habis semester pertama.

Tiba-tiba, seperti berbisik dia berkata, "Eh Lias, boleh dok mung ajar aku ngaji? Aku ade suruh Kimie ajar aku, tapi die kate nanti, nanti.." seraya dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuka perisian Al-Quran. Aku yang bersetuju untuk mengajarnya mula mengaji perlahan-lahan. Dia mengikutiku bacaan perlahan-lahan...

Hari beransur malam. Bas bergerak merentasi negeri-negeri di utara menuju Pahang...

Semakin lama perjalanan, semakin banyak dia bercerita. "Aku dulu teruk, banyok bende jahak aku buak.. Aku bukang orang baik Lias.. Dulu aku ade awek, aku banyok buak saloh kat die.." dia terus bercerita, berkisar perbuatannya dulu, kesalahannya dulu. Pada keluarga, pada adik beradik. Di wajahnya kelihatan penyesalan yang mendalam. Aku kasihankannya.

Malam itu, kami bersahur di atas bas sahaja. Perjalanan dirasakan terlalu lama. Ditambah lagi insiden perutnya memulas-mulas. Di Temerloh dia meminta bas berhenti di tepi jalan untuk membuang isi perut. Sekali lagi di Plaza Tol Gambang. Aku menggeleng-gelengkan kepala kelakar, namun kasihankan dia juga kerana tersalah makan agaknya.

Jam 0700, Kuantan, tiba di Terminal Makmur. Ayat terakhirku kepadanya, "Ok Wan, jumpa lagi kat maktab tahun depan ye!" Namun, jawapannya hanya senyum. Ketika aku bergerak meninggalkan terminal, aku berpaling. Aku lihat dia berdiri sambil tersenyum lagi. Senyuman terakhir yang takkan aku lupa. Senyuman tanpa jawapan...

Beberapa hari kemudian, hari lebaran tiba. Meriah. Seminggu kemudian...

"HELLO, Alias? Alias ke tu?"
"Ya, ya, Alias ni. Siapa ni?" Aku bertanya.
"Ni.. ni Ana. Ana Kemaman.." Jawabnya, ada sendu dalam nadanya.
Aku mula merasakan ada sesuatu terjadi, "Ooo, Ana rupanya! Ana sihat?" Tanyaku dengan nada gembira.
"Si..sihat. Alias.. Wan.. Wan dah tak ada!" Ana menghamburkan apa yang terbuku sambil menangis tersedu-sedan.
Aku terpana! Seperti Disambar petir! "Err, kenapa Ana? Kenapa dengan Wan?"
"Dia kemalangan! Di kampung..!" Ana bercerita lanjut...

Tiga hari kemudian...

Aku berada di pusara arwah. Sambil menatap butir-butir tanah lesu, aku menghadiahkan surah Al-Fatihah. Ketika itu, segala yang terjadi beberapa minggu lalu berputar ligat dalam fikiranku. Selesai urusanku di pusara, aku pulang.

Sambil melangkah menjauhi pusaranya, barulah aku tahu kenapa arwah hanya berdiam diri ketika berpisah tempoh hari.

Senyuman itu jawapannya.

Senyuman tanpa jawapan...

8 ulasan:

  1. arwah seorang yang baik.. T_T
    walopon dia nakal, tapi hati dia baik...

    BalasPadam
  2. sedey baca pokyas..kalo anta masuk ptandingan cerpen pon rasanya bley dapat apa2 award..umm..al-fatihah...xsempat knai arwah..tapi tok chong tu mcm femes la dok jumpa kat kagum..

    BalasPadam
  3. betol2.. yg sedihnya, seblom arwah meninggal tu, dia macam nak jugak blaja mengaji.. sampai dalam bas dia bukak Quran digital n suh aku ajar dia sket2..

    ish... sedey2.. Al-Fatihah..

    BalasPadam
  4. kdg2, arwah bg inspirasi utk saya terus maju, cik qien..

    BalasPadam
  5. OITTTT ... SEYES SEDEY STORY NI ...

    Al-Fatihah buat arwah ...
    Aku pown ada kisah yg sama ~
    Arwah sahabatku Ijan ... tp bukan sbb kemalangan .. arwah sakit. dia sahabat aku yg terbaik pnh aku ada. :(

    Pe pownnnn ... selamat raya dato!!!

    BalasPadam

Feel free to leave a comment! =)