Jumaat, Februari 27, 2009

KETIBAAN MUSIM SEMI

Sejak Sabtu lalu, rintik-rintik hujan mula membasahi bumi Perlis. Mungkin ramai penduduk Malaysia tidak maklum bahawa iklim di negeri kecil ini adalah iklim tropika - sama seperti Thailand. Untuk sekian kalinya pada tiap-tiap Januari hingga Februari, negeri ini seperti biasa akan mengalami cuaca panas berangin kencang. Biasanya, bagi sesiapa yang tidak biasa dengan cuaca ini akan mengalami batuk dan demam dalam proses untuk mangadaptasi diri. Angin yang melanda negeri ini sama juga Angin Monsun Timur Laut, cuma yang bezanya angin ini tidak sarat dengan molekul air bahkan kering dan panas. Ini kerana angin yang melanda Perlis tidak melalui Laut China Selatan.

Hari ini, padang-padang mula menghijau, pokok-pokok mula kembali bertunas, dan suasana mula tampak bersemangat. Tiada lagi pemandangan seolah-olah musim luruh di negara 4 musim. Bunga-bunga ungu dan putih bersemi. Bauan pohon cempa sikit-sikit memenuhi ruang udara. Pokok-pokok di bukit-bukit batu kapur mula berubah ceria. Kesegaran makin terasa di bumi ini, dan saban hari bau udara yang sarat dengan molekul air semakin kerap dapat dihidu dari jauh. Bagi aku, ini rahmat bagi alam. Satu perubahan berbentuk kitaran yang memang diatur dalam takdir ALLAH.

Semakin aku berfikir, semakin aku rasa takjub akan kekuasaan-NYA, dan semakin aku rasa aku kerdil...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Feel free to leave a comment! =)