Khamis, Februari 05, 2009

DUNIA SEOLAH-OLAH MENYEMPIT...

"Bila engkau letih dan hilang rasa semangat, ALLAH tahu betapa kamu telah mencuba sedaya upaya. Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan, ALLAH telah mengira titisan air matamu. Bila engkau rasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu, ALLAH sentiasa di sisimu. Bila engkau telah mencuba segalanya tetapi tetap kebuntuan, ALLAH ada jalan penyelesaian. Bila tiada yang bererti buatmu, keliru dan kecewa, ALLAH ada jawapannya.. ALLAHU MA'ANA"

Belakangan ini, aku terasa sibuk sekali. Hari-hari yang berlalu dipenuhi dengan latihan fizikal yang menyeksakan. Dadaku menyempit dan tubuhku longlai. Terlalu kuat aku mengerah tubuh lemah ini memenuhi jadual latihan yang berat. Minggu ini sahaja, latihan renang menjadi rutin seperti minggu-minggu sebelumnya pada setiap Selasa dan Khamis. Puas bila dapat berenang 1.5km pada Selasa lalu! =). Hari ini cukuplah aku mengisi sesi renang dengan melatih sahabatku mempelajari kemahiran saranan Nabi tersebut. Senamrobik di awal pagi Selasa dan Rabu pula kadang-kadang mencergaskan lagi hari-hariku. Itu belum kira larian 3km pada setiap selepas Subuh hari Khamis...

Alhamdulillah, walaupun letih, hari ini aku berjaya menjadikan Kadar Nadi Rehat aku kepada 60 degupan seminit. InsyaALLAH, aku cuba kurangkan lagi KNR itu. Banyak aktiviti kecergasan yang dilalui baru-baru ini meningkatkan kualiti diri aku, walaupun adakalanya antara sekian banyak aktiviti itu adalah aktiviti wajib yang disusun oleh Jabatan Pendidikan Jasmani, namun selagi aktiviti itu bagus untuk aku, aku tidak akan komplen. Waktu kuliah yang tidak padat pula kami penuhi dengam latihan bola tampar. Hari ini (selepas sebulan berlatih), kualiti permainan rakan-rakan meningkat. Kalau ada rezeki boleh join KAGUM.

Malam ini, selepas sekian lama, aku mengetuk papan kekunci laptop ini dan menulis entry kembali. Aku coretkan rasa hati yang terbit. Aku tuliskan segalanya, biar terluah perasaan.

Dalam kepenatan ini aku mendambakan ketenangan anugerah TUHAN. Aku yang letih jasmani mendambakan pengisian rohani. Aku menantikan bisikan ayat-ayat dari TUHAN. Aku di dalam pandangan yang ditabiri dunia cuba melihat di sebalik hijab. Jika aku berdiri lagi dan bernafas keseorangan, aku inginkan cahaya TUHAN... Lalu seperti berbisik aku terdengar "bila engkau letih dan hilang rasa semangat..."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Feel free to leave a comment! =)