Sabtu, Februari 28, 2009

SELAMAT BERLEPAK SANTAI! =)

Hari ini, pagi yang indah. Hari yang dimulai dengan pagi yang mempesonakan. Suasana alam sungguh terasa damainya. Ketika para penghamba TUHAN menzikirkan lafaz-lafaz mengingati ALLAH, ada juga kicau burung yang turut menyertai, seolah-olah turut sama mendendangkan zikir-zikir memuji TUHAN.

Pagi ini juga, sahabat-sahabat Kelab RAM akan berkumpul di Putrajaya untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan lebih mengenali antara satu sama lain. Aku tidak dapat hadir. Hari ini tiba-tiba sahaja guru-guru pelatih perlu menghadiri Pesta Budaya anjuran kolej kediaman. Aku terasa ralat kerana tidak dapat hadir, namun apakan daya. Kalau boleh terbang ke sana sekarang jugak aku terbang! Ahahaha!

Di kesempatan ini, saya ingin doakan kepada semua sahabat Kelab RAM supaya sentiasa berada dalam lindungan ILAHI. Semoga pertemuan yang diadakan ini dapat memperatkan lagi tali persaudaraan dan membuka lembaran baru dalam sejarah hidup masing-masing. Semoga dengan pertemuan ini Kelab RAM akan menjadi kelab yang lebih berdaya maju dan bertambah-tambah keahliannya.

Satu lagi, jaga keselamatan diri masing-masing semasa menjalankan aktiviti-aktiviti ya. Nanti kalau jumpa Manggala, tolong kirim salam saya kat dia! Hohoho =)

Kepada Abg Ramlee, jangan lupa kepada kami yang tak pergi ni ya! heheheheeee...

Jumaat, Februari 27, 2009

KETIBAAN MUSIM SEMI

Sejak Sabtu lalu, rintik-rintik hujan mula membasahi bumi Perlis. Mungkin ramai penduduk Malaysia tidak maklum bahawa iklim di negeri kecil ini adalah iklim tropika - sama seperti Thailand. Untuk sekian kalinya pada tiap-tiap Januari hingga Februari, negeri ini seperti biasa akan mengalami cuaca panas berangin kencang. Biasanya, bagi sesiapa yang tidak biasa dengan cuaca ini akan mengalami batuk dan demam dalam proses untuk mangadaptasi diri. Angin yang melanda negeri ini sama juga Angin Monsun Timur Laut, cuma yang bezanya angin ini tidak sarat dengan molekul air bahkan kering dan panas. Ini kerana angin yang melanda Perlis tidak melalui Laut China Selatan.

Hari ini, padang-padang mula menghijau, pokok-pokok mula kembali bertunas, dan suasana mula tampak bersemangat. Tiada lagi pemandangan seolah-olah musim luruh di negara 4 musim. Bunga-bunga ungu dan putih bersemi. Bauan pohon cempa sikit-sikit memenuhi ruang udara. Pokok-pokok di bukit-bukit batu kapur mula berubah ceria. Kesegaran makin terasa di bumi ini, dan saban hari bau udara yang sarat dengan molekul air semakin kerap dapat dihidu dari jauh. Bagi aku, ini rahmat bagi alam. Satu perubahan berbentuk kitaran yang memang diatur dalam takdir ALLAH.

Semakin aku berfikir, semakin aku rasa takjub akan kekuasaan-NYA, dan semakin aku rasa aku kerdil...

Selasa, Februari 24, 2009

PENGALAMAN HITAM

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...

Seperti biasa, tajuk-tajuk untuk entry aku semuanya pasal hari-hari yang letih dan menggambarkan kepenatan yang amat sangat! (ye la, saper suruh aku menaip time2 penat camnih! hohoho)

Tapi, aku mulakan dengan basmalah, ok la tu..

Minggu ini, banyak terjadi peristiwa yang memberikan pengalaman baru kepada aku. Sebahagian minggu aku dihabiskan pada Program Bina Insan Guru yang dijalankan di Pulau Pangkor bermula Isnin lalu sehingga Khamis. Sepanjang 4 hari menjalani program berbentuk Pendidikan Luar itu, aku seperti biasa mengerah segala kudrat yang ada untuk menjayakannya. Cuma, bertugas sebagai Pembimbing Bina Insan Guru (Pembimbing BIG) tidaklah seletih dan seteruk menjadi pesertanya.

Untuk BIG ini, aku ditugaskan membantu Jurulatih Air - En. Zuraimee, En. Muftar, En. Fadhil, untuk mengurus dan mengendalikan segala aspek berkaitan dengan Modul Latihan Aktiviti Air yang disediakan oleh Bahagian Pendidikan Guru. Menjadi jurulatih di air walaupun nampak mudah, tetapi memerlukan kemahiran dan keyakinan yang tinggi untuk meraih kepercayaan peserta terhadap aku - pembimbing mereka yang 10 atau 5 tahun lebih muda!

Hari pertama dan kedua berjalan seperti biasa sehinggalah tiba waktu malam. Cerita pengalaman rakan pembimbing semasa menjalani Aktiviti Darat - Kembara, pada siang itu menjelaskan segala-galanya. Diringkaskan cerita, pada malam tersebut aku hanya berpeluang untuk masuk tidur pada pukul 2 pagi! (dalam keadaan badan yang terlalu letih akibat sehari suntuk dihabiskan di dalam laut).

Pengalaman paranormal yang di luar jangkaan pemikiran yang berlaku pada malam itu sukar untuk ditafsirkan. Segalanya bersangkutan dengan alam yang halus dan jauh untuk dibayangkan. Disangkakan pada malam berikutnya akan berlangsung seperti biasa, namun tetamu yang tidak diundang sekali lagi datang. Habis, kami akhirnya tidur pada pukul 4 pagi! Dah dua hari aku tidur lewat, dan dua hari jugak aku berpeluh-peluh melayan kerenah tetamu asing yang halus.

Gangguan paranormal yang berlaku membuatkan aku berfikir. Mengenai kemampuan diri untuk berhadapan dengan situasi yang di luar jangkaan seperti itu, adakah aku bersedia? Kemudian, aku berkira-kira untuk menyiapkan diri dengan sedikit ilmu buat bekalan andai terjadi lagi perkara-perkara seumpamanya. Lagi, tentang tetamu dari atas yang tidak diundang itu lagi memeningkan benakku. Untuk memikirkan lebih lanjut tentang mereka aku tidak mampu kerana pandangan dan akalku dibatasi hijab ghaib yang tidak ternampakkan. Cuma aku boleh beranggapan bahawa setiap makhluk ALLAH jadikan untuk hidup secara bersama. Apa yang penting adalah percaya dan bergantung pada ALLAH serta pada masa yang sama saling menghormati antara makhluk...

Ahad, Februari 22, 2009

AHLI KELAB RAM BERKUMPUL

Tidak berapa lama sebelum hari ini, mungkin 2 minggu lalu kakakku Ruzilawati/Kak La/Illa Kuantan (namanya dalam kelab) menghubungiku untuk memaklumkan rancangan kelab untuk berkumpul. Tatkala mendengar berita itu, aku gembira bukan kepalang! Dapat berjumpa dengan rakan kelab yang lain dan penulis yang dikagumi membuatkan aku bersetuju untuk menyertai.

Namun, setempoh selepas itu aku dikhabarkan berita yang sangat mengganggu. dan berita itu menyebabkan aku terpaksa membatalkan penyertaan aktiviti Kelab RAM! AAAAAARRRRRRGGGGGHHHHHH!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Tak aci! Tak aci! Rugi wooo tak pergi! Ish tension2!

Last2, selepas membuat pertimbangan yang sewajarnya, aku terpaksa menolak peluang menghabiskan masa bersama rakan-rakan kelab dan penulis terkenal itu.

Nok buek camno, kalau dah jadik macam ini, tok dapek den nak nolong!!!

Khamis, Februari 05, 2009

DUNIA SEOLAH-OLAH MENYEMPIT...

"Bila engkau letih dan hilang rasa semangat, ALLAH tahu betapa kamu telah mencuba sedaya upaya. Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan, ALLAH telah mengira titisan air matamu. Bila engkau rasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu, ALLAH sentiasa di sisimu. Bila engkau telah mencuba segalanya tetapi tetap kebuntuan, ALLAH ada jalan penyelesaian. Bila tiada yang bererti buatmu, keliru dan kecewa, ALLAH ada jawapannya.. ALLAHU MA'ANA"

Belakangan ini, aku terasa sibuk sekali. Hari-hari yang berlalu dipenuhi dengan latihan fizikal yang menyeksakan. Dadaku menyempit dan tubuhku longlai. Terlalu kuat aku mengerah tubuh lemah ini memenuhi jadual latihan yang berat. Minggu ini sahaja, latihan renang menjadi rutin seperti minggu-minggu sebelumnya pada setiap Selasa dan Khamis. Puas bila dapat berenang 1.5km pada Selasa lalu! =). Hari ini cukuplah aku mengisi sesi renang dengan melatih sahabatku mempelajari kemahiran saranan Nabi tersebut. Senamrobik di awal pagi Selasa dan Rabu pula kadang-kadang mencergaskan lagi hari-hariku. Itu belum kira larian 3km pada setiap selepas Subuh hari Khamis...

Alhamdulillah, walaupun letih, hari ini aku berjaya menjadikan Kadar Nadi Rehat aku kepada 60 degupan seminit. InsyaALLAH, aku cuba kurangkan lagi KNR itu. Banyak aktiviti kecergasan yang dilalui baru-baru ini meningkatkan kualiti diri aku, walaupun adakalanya antara sekian banyak aktiviti itu adalah aktiviti wajib yang disusun oleh Jabatan Pendidikan Jasmani, namun selagi aktiviti itu bagus untuk aku, aku tidak akan komplen. Waktu kuliah yang tidak padat pula kami penuhi dengam latihan bola tampar. Hari ini (selepas sebulan berlatih), kualiti permainan rakan-rakan meningkat. Kalau ada rezeki boleh join KAGUM.

Malam ini, selepas sekian lama, aku mengetuk papan kekunci laptop ini dan menulis entry kembali. Aku coretkan rasa hati yang terbit. Aku tuliskan segalanya, biar terluah perasaan.

Dalam kepenatan ini aku mendambakan ketenangan anugerah TUHAN. Aku yang letih jasmani mendambakan pengisian rohani. Aku menantikan bisikan ayat-ayat dari TUHAN. Aku di dalam pandangan yang ditabiri dunia cuba melihat di sebalik hijab. Jika aku berdiri lagi dan bernafas keseorangan, aku inginkan cahaya TUHAN... Lalu seperti berbisik aku terdengar "bila engkau letih dan hilang rasa semangat..."