Khamis, Januari 01, 2009

PALESTIN, KITA...

DIPETIK DARI SAUDARAKU thetalkingpen.blogspot.com

Tanah Gaza dinodai lagi. Israel mula melempiaskan ammarahnya usai sahaja tamat genjatan senjata enam bulan yang tidak ke mana. Sekatan demi sekatan sudah membuktikan kedengkian dan kedangkalan Israel kepada ummat Islam Palestin, apa lagi dengan serangan terbaru ini? Serangan terburuk semenjak 1976 konflik Israel-Palestin merupakan tindakan kejam yang tidak dapat disifatkan pelakunya sebagai manusia. Tidak cukup dengan serangan udara melalui jet perangnya, Israel kerahkan pula bala tenteranya berserta kereta kebal mengepung Gaza.

Di mana dan apa peranan kita dalam hal ini? Ini bukan sekadar satu isu kemanusiaan, ia lebih dari sekadar itu. Kekejaman dan kedengkian yahudi zionis sudah lama berakar umbi sejak dari zaman dahulu, malah al-Quran merakamkan sejelas-jelasnya sifat yahudi ini! Namun ramai daripada pemimpin negara Islam hanya mampu melihat dan tidak berbuat apa-apa, keterikatan dan kepentingan diri dengan mereka ini menyebabkan tangan mereka terbelenggu. 300 juta ummat Islam dunia Arab, untuk dibandingkan dengan Israel yang tidak pun sampai 10 juta rakyatnya, hanya mampu memangku tangan dan melihat sahaja.

Kolonisasi neo oleh Israel ini sememangnya sesuatu yang tidak sedikit pun bersifat kemanusiaan. Rakyat Palestin dinafikan hak mereka sebagai pemilik sebenar bumi Kan’an tersebut. Mereka tidak bisa bergerak bebas sekalipun berada dalam negara sendiri. Bayangkan, setiap 400 meter di sepanjang 7++ km dinding pemisah punya satu pos kawalan, mereka ibarat banduan di negara sendiri. Bukan sekadar itu, bagaimana pula dengan sekatan kepada ubat-ubatan dan bantuan makanan daripada luar? Mereka semua dinafikan hak untuk hidup. Siapa mereka untuk berhak menahan sesuatu yang bukan milik mereka? Tanah palestin diungsi masuk beramai-ramai dengan orang Yahudi dari pelusuk dunia apabila PBB berundur dan menyerahkan Palestin yang dikatakan ‘tidak dihuni oleh manusia’, membuktikan itu bukan tanah mereka, maka apa hak mereka untuk menghalang pemilik sebenar tanah Palestin?

Dari segi aqidah, mengapa Palestin ini isu kita, adalah kerana keterikatan yang Allah silahkan dalam al-Quran, Dia menyebut dalam surah al-Hujuraat ayat 10;

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. [QS:40:10]

Ayat di atas jelas menunjuk dan membuktikan bahawa hubungan persaudaraan itu terjalin selagi mana kita ini orang Islam dan beriman kepada Allah. Malah ia tidak membataskan persaudaraan ini kepada satu tempat atau daerah, mahupun negara sahaja. Maka, seandainya kita akui bahawa kita ini orang yang beriman kepada Allah, hal setiap saudara seIslam kita adalah hal kita juga, masalah mereka adalah masalah kita.

Bahkan, sesungguhnya Palestin itu adalah tanah yang di mana para nabi dan rasul ramai diutuskan kepada kaum-kaum yang menghuni kawasan tersebut. Malah, para sahabat juga ramai yang dikebumikan di situ, bagaimana kita bisa membiarkan mereka ini menjajah dan menjarah bumi yang dimuliakan Allah sebagai bumi para nabi dan rasul? Tidak, sekali-kali tidak, sekali lagi, iman kita menjadi persoalan, sekiranya kita mengakui Muhammad sebagai nabi kita, pastinya kita akan mengambil kisah dan berat akan ehwal ummat di sana.

Apa kaitan baginda nabi dalam hal Palestin? Selain daripada ia menjadi tempat persinggahan nabi sebelum di mi’rajkan ke langit, nabi Muhammad juga sepanjang umur perutusan baginda juga kerap kali menterjemahkan hasratnya untuk memiliki semula tanah suci yang diberkati itu. Baginda sudah beberapa kali membuat percubaan untuk membuka tanah Palestin daripada jajahan Qaisar Roma. Usaha ini difahami oleh Khulafa` ar-Rasyidin, maka mereka menyambung perjuangan suci nabi kita ini. Saidina Abu bakar as-Siddiq menghantar empat kumpulan tentera untuk menentang Roma, namun beliau ketika itu menghembuskan nafas terakhir, dan disambung pula oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab. Akhirnya Palestin kembali semula ke tangan ummat Islam.

Malah, bukan sekadar ini, masih banyak lagi perjuangan ummat terdahulu untuk mempertahankan tanah suci yang diberkati ini. Kini, Palestin dimamah rakus oleh Israel secara berterusan dan Palestin kehilangan tanah mereka. Di mana dan apa peranan kita?

Ambil tahu! Ambil tahu akan apa yang berlaku kepada ummat Islam di Palestin, banyak laman web hari ini yang bercakap mengenai isu Palestin, carilah dan ambil tahu. Sebarkan kepada kawan dan sanak saudara mengenai isu ini. Berikan sokongan anda, berilah derma dalam bentuk kewangan mahupun material untuk membantu ummat Palestin yang lebih 4 juta dalam pelarian di luar Palestin. Doakan saudara kita di sana, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, dan Dia mengabulkan doa dan permintaan kita, ikhlaskan diri ketika berdoa…. Semoga Allah membantu kita.

Kita tidak bisa mendiamkan diri lagi, ini bukan isu mereka semata, ini isu kita juga. Al-Aqsa milik kita semua, perancangan Israel dalam serangan ini juga bertujuan untuk mengaburi dan mengalihkan pandangan dunia kepada isu masjid al-Aqsa yang semakin retak kerana digali di bawah tanah. Mereka sudah membina tapak kuil Haykal yang dimimpikan mereka, sudah dibina juga pejabat-pejabat yang dihuni manusia.

Kita cukup sensitif bercakap isu haiwan terancam, juga kebuluran makanan di negara orang lain, namun hal ini tidak sepatutnya dipandang sebelah mata, ini adalah soal aqidah dan keimanan kita kepada Allah SWT dan Islam. Gagalnya kita untuk mencerna iman dan menterjemahkannya ke dalam bentuk perbuatan, mengurangkan bukti keimanan kita bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Ayuh bangkit wahai ummat yang tidur, isu palestin isu kita bersama.

Palestin, Jangan Sekadar Melihat!!